Saturday, April 3, 2010

Belasungkawa Din Beramboi: Lawak spontan pasti dirindui

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
2010/04/03

LUMRAH hidup, sampai masanya pasti ajal menjemput juga. Begitulah dengan Din Beramboi, 43, yang cukup dikenali dengan sikap lucunya dan celoteh lawak spontan.

Kini, apa yang ditinggal hanyalah nama dan jasa Din atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri. Malah, gandingannya bersama pengacara terkenal, Aznil Nawawi mengemudi slot Riuh Pagi Era pasti akan dirindui.


Tentunya tiada lagi segmen Drama Sebabak dan Sawan Cara yang menghiburkan pendengar setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi. Bahkan, tiada lagi kelibat Raja Kapoor yang mencuit hati dalam program Mandi di Astro Warna.


Mandi yang disiarkan di Saluran 132 (Warna) adalah program bercorak permainan yang dihoskan Din dengan disertai sekumpulan artis. Sesiapa yang gagal menjawab soalan diberi akan dimandikan. Malah, Din juga mengacarakan Wuhai Beramboi. Jika Mandi menemui penonton setia Isnin, jam 9.30 malam, program Wuhai Beramboi pula disiarkan setiap Selasa jam 9.30 malam juga di saluran Warna.


Cuma, Wuhai Beramboi berupa program bual bicara yang santai dan banyak humour.


Ada kalanya kelibat Allahyarham Din juga muncul dalam sitkom Spontan bersama rakan pelawak seangkatannya seperti Afdlin Shauki dan Harith Iskander. Malah, ia turut diceriakan dengan gabungan bekas peserta Raja Lawak.

Bukan itu saja, pada saat nama Din berada di puncak populariti, Allahyarham pernah terbabit menjadi seorang juri Raja Lawak 4 (RL4) yang berakhir baru-baru ini. Menerusi program itu juga, Din mencetuskan sensasi.


Komen diberikannya kepada peserta mungkin dianggap kasar, tetapi diterima dengan hati terbuka. Menarik pula tugasan 'Bila Sudah Tua' yang menjadi cabaran kepada peserta pada minggu kesembilan RL4, Din tampil dalam studio dengan gaya orang tua nyanyuk.


Ia sangat melucukan dan Din ternyata kreatif. Malah, ada kalanya idea lawak Din itu tidak pernah difikir dek akal. Jiwa pelawak sejati sebati dalam dirinya kerana bukan saja mimik muka, tetapi gerak badan dan apa saja dilakukan Din mencuit hati.


Oleh itu, tak hairanlah apabila namanya mampu tersenarai dalam calon top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang berlangsung esok. Siapa sangka, individu yang kurang mendapat liputan media mampu menarik kelompok peminatnya.


Ternyata aura Din di slot Riuh Pagi Era membantu dirinya diterima peminat. Sekalipun, sudah lama bergelar pelawak, baru sekarang ini bakat sebenar Din disedari ramai. Cuma, sayangnya bakat itu hanya seketika dan kini industri seni hilang sebutir permata.

Tidak ramai yang mampu berlawak spontan seperti Din. Walaupun gila-gila ia tetap menghiburkan dan membantu menghilangkan tekanan pendengar. Jelas hasrat Din untuk meluangkan masa bersama keluarga selepas ABPBH2009 hujung minggu ini tidak kesampaian.


Ternyata cuti selama 10 hari yang diberitahu arwah kepada isterinya, Suhaini Che Man, 43, seolah-olah cuti yang terakhir. Din disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang pada jam 12.30 tengah malam semalam (Jumaat) selepas menghidap demam denggi berdarah.


Allahyarham mula demam sejak 23 Mac 2010 dan dimasukkan ke Hospital Selayang sejak Isnin lalu selepas keadaannya semakin teruk dan kemudian terus koma. Arwah pada mulanya dikatakan terkena virus air kencing tikus sewaktu menjalani penggambaran di zoo, baru-baru ini. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam, Taman Ehsan, Kepong, Selangor kira-kira jam 11.30 pagi semalam. Arwah meninggalkan seorang balu serta tiga anak, Nil Aina Adibah, 17, Mior Shafiq, 12, dan Nir Ain. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.


Nota: walaupun aku bukanlah dr kalangan peminat setia atau org terdekat tp aku xnafikan yang kehilangan arwah amat dirasai. sejak berita arwah dimasukkan ke hospital lagi, aku selalu mengikuti perkembangan kesihatannya. dan facebook abang afdlin shauki menjadi salah satu sumber tuk aku mengetahui perkembangan terkini tahap kesihatan arwah. semasa menjadi juri dalam rancangan Raja Lawak 4, aku akui yang arwah sering mengutarakan pandangannya yang sangat jujur.... walaupun kadang2 terasa agak kasar sbb aku teringat kata2 Roslan Aziz semasa menjadi juri Malaysian Idol kalo xsilap aku... "penilaian yang dibuat secara terus adalah penilaian yang paling jujur".. lebih kurang la. apa2 pn, semoga sekarang roh arwah bersemadi dengan tenang di sana.. dan ditempatkan di kalangan umat Nya yang disayangi... dan dirahmati. Amin...

No comments: