Monday, December 28, 2009

Kenyataan-kenyataan selepas kemalangan bas 2 tingkat

EDISI BERITA HARIAN...........

Sani Express akur syarat

Oleh Nurhayati Abllah, Rosdalilah Zahari dan Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my




JPJ sah kenderaan tepati spesifikasi, rekod pemandu bersih

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bas Sani Express Sdn Bhd yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan kelmarin, mengikut spesifikasi dan mematuhi syarat ditetapkan agensi itu.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata bas berkenaan mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan, malah ia tidak mempunyai rekod buruk sepanjang beroperasi.


"Kita sudah memeriksa bas terbabit dan mendapati ia tidak melanggar kriteria yang ditetapkan JPJ.

"Lesen yang dimiliki pemandu bas berkenaan masih berkuat kuasa.

"Pemeriksaan JPJ turut mendapati struktur bas mengikut Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 dan tempoh cukai jalan masih berkuat kuasa," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu di Hospital Raja Permaisuri Bai-nun, di sini, semalam.

Salim berkata, bas syarikat berkenaan juga tidak terlepas menjalani pemeriksaan yang dikendalikan JPJ di Terminal Bas Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Kangar.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati bas itu menepati spesifikasi dan selamat untuk penumpang menaikinya bagi meneruskan perjalanan," katanya.

Katanya, setiap hari JPJ menjalani pemeriksaan bas ekspres di 19 terminal seluruh negara sebelum membenarkan ia berlepas ke destinasi dituju.

"Kira-kira 589 pemeriksaan dijalankan setiap hari bagi memastikan pengangkutan awam itu selamat teruskan perjalanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab ketika dihubungi berkata, pemandu bas ekspres terbabit tiada rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber termasuk saksi kejadian," katanya.



DAN..............

LPKP disaran kawal lesen bas 2 tingkat

Oleh Nurhayati Abllah, Rosdalilah Zahari dan Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my


SURET memeriksa keadaan bas ekspres yang terbabit kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan menyebabkan 10 terkorban, di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, semalam.

Kenal pasti laluan sesuai, pantau cara pemanduan

IPOH: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) disaran mewujudkan mekanisme kawalan dalam pengeluaran lesen bas dua tingkat kepada syarikat pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata selain faktor kesesuaian muka bumi, pengeluaran lesen itu juga perlu mengambil kira kemampuan pemandu mengendalikan bas berkenaan.


Katanya, kawalan itu penting kerana penggunaan bas dua tingkat bukan saja untuk memberi pulangan berdasarkan banyak tempat duduk, tetapi perlu diikuti tanggungjawab supaya pemandunya diberi latihan mencukupi.

Katanya, lokasi lebih sesuai untuk penggunaan bas dua tingkat juga perlu dikenal pasti supaya kawasan berisiko terhadap penggunaannya dikawal dengan baik.

"Penggunaan bas dua tingkat bukan penyebab utama kemalangan, sebaliknya kaedah pengendalian dan pemanduan bas perlu dipertingkatkan.

"LPKP perlu mengadakan kawalan dan penguatkuasaan selain mengehadkan pengeluaran lesen bagi perjalanan bas dua tingkat.

"Paling penting, kerajaan perlu meningkatkan profesionalisme pemandu bagi mengurangkan nahas maut, sekali gus mendidik mereka lebih peka keselamatan pemanduan di jalan raya," katanya selepas melawat mangsa kemalangan maut di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi kelmarin, bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan 10 penumpang di tingkat bawah kenderaan itu maut akibat terkena tusukan besi penghadang jalan.

Dr Ahmad Farhan berkata, walaupun bas dua tingkat mempunyai kestabilan yang baik jika dikendalikan dalam keadaan biasa, ia memerlukan pemandu berkebolehan untuk mengendalikannya.

Katanya, kelajuan dan pergerakan pusingan bas dua tingkat berbeza berbanding bas biasa dan lebih sesuai digunakan dalam bandar.

Sementara itu, Dr Ahmad Farhan berkata, semua pihak termasuk media perlu membantu mengenal pasti masalah pemandu kenderaan berat.

"Sekarang tiada profesionalisme dalam sikap pemandu bas kerana mereka kebanyakannya pekerja sambilan, bukan kerjaya tetap.

"Banyak masalah timbul kerana mereka tidak menjalani latihan formal, malah tidak mempelajari kaedah penyelenggaraan dan pemanduan bas yang sempurna.

"Segelintir pemandu pula mengejar jadual perjalanan ketat bagi mendapatkan imbuhan lebih," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kemalangan sebelum ini sukar ditangani kerana masalah pengurusan syarikat bas dan usaha meningkatkan taraf profesionalisme perlu ditangani semua pihak termasuk industri bas.

Katanya, Miros sentiasa menekankan tiga aspek penting mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa iaitu pemandu, kenderaan serta struktur jalan.

"Tiga aspek itu perlu diselaraskan mengikut Standard Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE) bagi memastikan perjalanan lebih selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, berkata pihaknya memuji tindakan pengurusan Sani Ekspres yang sedia bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mewajibkan penggunaan kod SHE kepada semua pengendali bas ekspres untuk memastikan aspek keselamatan dipatuhi bagi mengelak nahas serius.


LAGI......

Pemandu elok tukar giliran jika mengantuk: Pembawa


KUALA LUMPUR: Pemandu bas ekspres dan pemandu kedua digesa saling bertolak ansur serta tidak berkira dalam menentukan giliran pemanduan untuk perjalanan jauh bagi mengelakkan terlelap.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajuddin Yunus, berkata pemandu bas ekspres yang mengantuk tidak harus mengambil risiko meneruskan pemanduan atas dasar giliran dipersetujui dengan pemandu kedua.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu perlu bekerjasama untuk mencegah kemalangan demi memastikan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya.


“Pemandu bas ekspres jangan ambil mudah apabila mengantuk kerana keselamatan pemanduan mereka membabitkan nyawa orang ramai.

“Kerjasama dan saling bertolak ansur antara kedua-dua pemandu bas menentukan giliran memandu untuk perjalanan jauh amat penting,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kemalangan bas dua tingkat Sani Express di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, kira-kira jam 1 pagi kelmarin mengakibatkan 10 terbunuh, manakala dua cedera, termasuk seorang parah.

Laporan akhbar semalam memetik Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Perak, Superintendan Wan Abdullah Ishak, sebagai berkata pemandu bas terbabit ketika disiasat mengaku mengantuk dan terlelap ketika kemalangan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya tidak mahu membuat spekulasi, sebaliknya menunggu hasil siasatan lima pihak.

Pihak terbabit ialah polis, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).


LAGI.....

Henti khidmat tengah malam elak nahas tak praktikal


IPOH: Cadangan menghentikan operasi perjalanan bas ekspres pada tengah malam dianggap tidak praktikal dan menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan kenderaan lain yang lebih berisiko berlaku kemalangan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kajian Miros mendapati kekerapan kemalangan di negara ini bukan dipengaruhi waktu perjalanan, sebaliknya bergantung kepada langkah keselamatan dan sikap pemandu.

“Kajian Miros mendapati tiada waktu signifikan berlaku kemalangan kerana ia boleh berlaku bila-bila masa.


“Risiko kemalangan hanya dapat dikurangkan jika pemandu mematuhi peraturan dan pengusaha bas memastikan mereka mengikuti garis panduan keselamatan terhadap kenderaan,” katanya di sini, semalam.

Dr Ahmad Farhan berkata, faktor mengantuk juga bukan penyebab utama kemalangan pada waktu malam atau awal pagi kerana kajian Miros menunjukkan pemandu turut mengantuk pada waktu petang terutama dari jam 2 hingga 4 petang.

Beliau berkata, pihaknya juga bimbang jika cadangan itu dilaksanakan pengguna beralih kepada kenderaan lain terutama motosikal yang lebih berisiko menyebabkan kemalangan.

“Jika pengguna disekat atau dihadkan penggunaan pengangkutan awam, mereka beralih kepada kenderaan sendiri atau motosikal, sedangkan berdasarkan statistik kemalangan, jumlah tertinggi kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal,” katanya.

Beliau berkata, kajian Miros turut mendapati 62 peratus penumpang bas ekspres tidak bersetuju cadangan henti khidmat bas ekspres pada tengah malam.

Oleh itu, katanya, Miros akan mencari pendekatan lain lebih bersesuaian bagi mengurangkan kemalangan membabitkan pengangkutan awam dari semasa ke semasa.

DAN LAGI................

Syarikat bas terbabit nahas 10 maut kena audit


KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) hari ini akan menjalankan pengauditan ke atas syarikat Sani Express Sdn Bhd (Sani Express) berikutan insiden kemalangan bas dua tingkat yang mengorbankan 10 penumpang manakala dua lagi cedera di Perak, kelmarin.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata tujuan utama pengauditan itu untuk mendapatkan maklumat terperinci serta meneliti prosedur kerja, tugasan pemandu yang memandu bas terbabit kemalangan serta elemen keselamatan.

Katanya, syarikat bas berpangkalan di Klang, Selangor itu sudah dimaklumkan mengenainya dan tugas audit akan diketuai Ketua Pegawai Penguat kuasa LPKP Semenanjung, Ariffin Sulaiman di pejabat syarikat itu pada jam 10 pagi.


“Kita akan memberi fokus kepada prosedur kerja dan tugas pemandu kenderaan itu. Laporan audit itu akan dibentangkan bersama laporan lain oleh beberapa jabatan dan agensi lain pada Mesyuarat Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Maut yang saya pengerusikan pada 5 Januari ini.

“Pada hari itu, jawatankuasa akan menilai laporan dan membuat keputusan apa bentuk tindakan perlu diambil terhadap syarikat itu.

“Pada ketika ini masih terlalu awal untuk membayangkan bentuk tindakan, namun berdasarkan kes kemalangan maut terdahulu tindakan tegas pernah dikenakan adalah menggantung keseluruhan operasi syarikat selama sebulan dan ada juga lesen bas yang terbabit dalam kemalangan dibatalkan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, malam tadi.

Beliau mengulas kemalangan itu bas itu yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, tidak jauh dari Tol Jelapang, Ipoh, awal pagi kelmarin.

Halimah berkata, ahli lain jawatankuasa inkuiri yang akan mengemukakan laporan mengenai kemalangan itu adalah Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Penasihat Undang-Undang LPKP.

Katanya, pengauditan adalah prosedur biasa dilakukan ke atas pengusaha yang bas mereka terbabit dalam kemalangan maut.


ADA LAGI..............

Pemandu perlu latihan keselamatan, kesihatan


KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Niosh) mencadangkan pengusaha dan pemandu bas ekspres mengikuti latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) bagi mengurangkan kemalangan maut membabitkan kenderaan awam itu.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata latihan itu penting kerana ada pemandu mengaku mengantuk dan terlelap ketika memandu.

"Pemandu yang tidak cukup tidur dan rehat melanggar polisi OSH," katanya selepas majlis ramah mesra Niosh bersama media Sabah, di Hotel Promenade, di sini semalam.


Lee mengulas kejadian 10 penumpang bas ekspres dua tingkat Sani Express Sdn Bhd (Sani Ekspress) terbunuh selepas bas itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, di Ipoh awal pagi kelmarin.

Beliau berkata, pemandu bas ekspres perlu lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-udang serta mengelak memandu ketika letih.

Katanya, lebih tujuh kes kemalangan maut membabitkan bas ekspres sejak 2003 membuktikan keselamatan penumpang pengangkutan awam itu masih diragui.

"Kami belum berpuas hati dengan tahap keselamatan kenderaan awam di negara ini kerana kemalangan maut termasuk bas ekspres sering berlaku

"Agak membimbangkan apabila ada bukti, kes terbaru itu berpunca daripada pemandu mengantuk dan penat sedangkan isu itu sudah lama dibincangkan.

"Pelbagai kaedah sudah digunakan untuk mengatasinya tetapi masih gagal," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pengusaha dan pemandu bas ekspres harus mengikuti kursus berkenaan demi keselamatan penumpang.

Lee berkata, polisi OSH yang perlu dipatuhi pengusaha dan pemandu itu membabitkan kurikulum menjaga keselamatan penumpang dan diri sendiri serta latar belakang pemandu, sama ada mempunyai rekod jenayah atau penagihan dadah.

"Selain bas ekspres, pengusaha dan pemandu feri juga perlu mengikuti kursus OSH bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti bot karam di Pulau Banggi, dekat Kudat baru-baru ini," katanya.

DAN MANGSANYA ADALAH..................

Gadis kematian bakal tunang reda majlis batal



KEK istimewa dihiasi wajah Rosma dan Noor Jismi untuk majlis pertunangan mereka.

KANGAR: Gadis yang dijadualkan bertunang dengan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam nahas bas di Plaza Tol Ipoh Selatan kelmarin, sedih tetapi reda apabila majlis yang bakal berlangsung di rumahnya petang semalam, terpaksa dibatalkan.

Rosma Abdullah, 23, bakal tunang Allahyarham Noor Jismi Noordin, berkata beliau dan keluarga membuat persiapan rapi untuk majlis pertunangan yang dirancang selepas solat Asar di rumahnya di Jalan Harumanis, Sungai Batu Pahat, dekat sini.

"Selain menempah kek memaparkan gambar bersama bakal tunang dan menyiapkan kebaya moden untuk dipakai pada majlis pertunangan hari ini (semalam).


"Pagi tadi (semalam), keluarga membawa pulang kek yang ditempah beberapa hari lalu dari kedai di Kangar untuk diserahkan kepada saya. Kami juga sudah membeli cincin tunang di Alor Setar, pada 3 Disember lalu.

"Arwah yang memilih cincin berharga RM280 untuk disarungkan ke jari saya, tetapi kini semuanya tinggal kenangan," kata Rosma di rumahnya, di sini.

Noor Jismi antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas bas dua tingkat, Sani Express Sdn Bhd yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, awal pagi kelmarin.

SMS Noor Jismi yang dihantar kepada rakan untuk merahsiakan kepulangannya ke Perlis daripada Rosma.

Mangsa baru beberapa bulan bekerja di bahagian percetakan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, menaiki bas itu untuk pulang ke Perlis bagi melangsungkan majlis pertunangannya.

Rosma berkata, kejadian itu sukar dilupakan kerana kehilangan insan tersayang pada saat akhir melangsungkan majlis pertunangan.

"Saya masih menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar Noor Jismi kepada rakannya pada malam sebelum kemalangan yang mahu kepulangannya ke Perlis dirahsiakan.

"Sebelum itu, arwah berkali-kali menyatakan tidak mahu pulang menyebabkan saya hilang tumpuan tetapi sebenarnya arwah mahu merahsiakan kepulangannya dan bercadang membuat kejutan muncul pada majlis berkenaan," katanya.





EDISI UTUSAN MALAYSIA

Terlelap bawa musibah - JKJR

IPOH 27 Dis. - Memandu dalam keadaan mengantuk, terlelap dan memejamkan mata walaupun dalam tempoh sekejap boleh mengundang padah amat dahsyat termasuk mengorbankan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius semua pemandu terutamanya mereka yang memandu kenderaan pengangkutan awam.

''Apabila mengantuk, pemandu bas ekspres perlu berhenti serta merta dan tukar dengan pemandu kedua. Jangan bertangguh atau merancang tukar pemandu di lokasi tertentu kerana ia hanya akan mengundang padah.

''Mata terpejam selama satu atau dua saat ketika memandu sudah cukup membahayakan nyawa penumpang. Pertukaran pemandu mesti jadi keutamaan jika mengantuk,'' katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara Selatan di sini sehingga meragut 10 nyawa. mengaku mengantuk dan terlelap.

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, pengakuan itu diperoleh selepas polis menyoal siasat pemandu terbabit, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38.

Polis diberitahu pemandu tersebut merancang untuk bertukar dengan pemandu kedua di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar walaupun semasa kejadian dia sudah terlalu mengantuk.

Mengulas lanjut, Suret berkata, pihaknya diberitahu syarikat bas berkenaan mempunyai segala kelengkapan mencukupi bagi memastikan perjalanan dari Klang, Selangor ke Kangar, Perlis itu adalah selamat.

Kata beliau, ini termasuklah penggunaan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta pengehad kelajuan bas supaya tidak dipandu terlalu laju dan membahayakan.

''Bagaimanapun, faktor kecuaian pemandu menjadi punca kemalangan ngeri itu.

''Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, pihak JKJR akan berusaha lebih gigih memastikan pemandu kenderaan awam lebih bertanggungjawab dan mengutamakan keselamatan semua pihak sepanjang masa,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Salim Parlan berkata, bas berkenaan telah diperiksa dan disahkan selamat sebelum dibenarkan memulakan perjalanan ke Kangar.

''Lesen pemandu dan cukai jalan bas tersebut masih sah. Bas itu juga dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ tetapi malangnya kemalangan tetap berlaku,'' katanya.

ADA LAGI.....

Wajibkan pemandu bas ikut latihan berkala - NIOSH

KOTA KINABALU 27 Dis. - Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan mewajibkan pemandu bas mengikuti latihan keselamatan dan kesihatan pemanduan secara berkala dalam usaha mengelak tragedi kemalangan jalan raya melibatkan pengangkutan awam.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye (gambar) berkata, langkah itu wajar dilakukan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam sekali gus menghapuskan kegelisahan pengguna.

''Saya terpanggil untuk mengatakan bahawa saya tidak begitu bangga dengan rekod keselamatan pengangkutan awam kerana ini bukan kali pertama dan dalam ingatan saya, sejak 2007 sekurang-kurangnya enam hingga lapan kes kemalangan telah berlaku melibatkan bas.

''Saya anggap soal keselamatan ini harus mendapat pertimbangan dan diwajibkan kerana faktor keselamatan amat penting dan tidak boleh diabaikan, bagaimanapun NIOSH tidak ada kuasa dan terpulang kepada kerajaan membuat keputusan,'' katanya pada majlis penghargaan media bersama NIOSH di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus NIOSH cawangan Sabah dan Labuan, Azhar Ahmad.

Semalam seramai 10 penumpang maut dan dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat, Sani Express terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, lapan kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan di sini.

Menurut Lam Thye, langkah segera harus diambil oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pemilik bas bagi memastikan tragedi yang sama tidak berulang dan menaikkan kembali imej pengangkutan awam.

''Semua pihak harus memastikan pemandu bukan sahaja memenuhi langkah keselamatan ditetapkan tetapi mempunyai sijil yang mengesahkan mereka ada kemahiran dan telah mendapat latihan termasuk mengikuti latihan berulang,'' katanya.

Dalam pada itu katanya, NIOSH sedia memberi bantuan dan kerjasama bagi menganjurkan program latihan di seluruh negara sekiranya diminta berbuat demikian.

Jelasnya, pada masa ini pihaknya telah terlibat menganjurkan kursus keselamatan pemanduan jalan raya melibatkan beberapa agensi di negara ini.

Sementara itu katanya, pihak syarikat bas juga mesti mempunyai dasar yang jelas dalam aspek keselamatan daripada semua sudut termasuk latihan, sikap pemanduan dan penyelenggaraan.

Tambahnya, syarikat bas juga perlu mengutamakan keselamatan dengan melakukan pemeriksaan terhadap pemandunya bagi memastikan mereka bebas daripada dadah.

''Syarikat bas selalu mengatakan sentiasa memberikan keutamaan kepada keselamatan tetapi kemalangan terus berlaku dan semakin ramai nyawa melayang.

''Jadi pemilik bas mesti melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini untuk meningkatkan imej keselamatan terhadap industri pengangkutan di negara kita,'' ujarnya


SETERUSNYA.....

Akibat pandu ikut perasaan, cakap ikut sedap mulut

Dulu bas 2 tingkat AB kini Sani

HARI ini adalah Isnin terakhir bagi tahun 2009. Banyak kisah menarik yang mewarnai tahun ini yang akan melabuhkan tirainya Khamis ini. Semoga 1 Januari 2010 yang bermula Jumaat ini akan lebih baik. Menariknya 1 Muharam atau Tahun Baru Hijrah juga jatuh pada hari Jumaat, 18 Disember. Dan menjelang hari-hari terakhir 2009, banyak cerita duka dicatatkan. Kisah sedih tentunya nahas bas dua tingkat Sani Express pada 1 pagi Ahad lalu di Kilometer (KM) 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan yang mengorbankan 10 nyawa. Beberapa lagi nahas berlaku sebelum dan selepas itu. Nampaknya, di luar waktu Ops Sikap, banyak kemalangan berlaku. Apakah Ops Sikap perlu diadakan sepanjang masa? Tetapi sikap pemandu adalah lebih penting ketika memandu. Apa pun, berikutan nahas itu, seperti biasa, macam-macam tindakan dilakukan tetapi apakah hasilnya? Menyelak kembali diari 2009, ini bukan kali pertama nahas melibatkan bas dua tingkat. 'Jalan cerita' nahas hampir serupa. Mangsanya juga sama - yang berada di tingkat bawah (kalau bas biasa tempat isi barang). Kematian mereka juga sama akibat besi pembahagi jalan merodok bahagian bawah bas. Bezanya AB terbalik tetapi Sani tidak.

Rasanya masih baru lagi nahas pada awal pagi 13 April 2009 yang melibatkan AB Express. Dalam nahas pada pukul 5 pagi itu, enam terkorban di KM443, Lebuh Raya Utara - Selatan berdekatan Rawang. Setahun yang lalu iaitu pada 7 Disember 2008, nahas bas ekspres Super Nice Grassland meragut 10 nyawa di KM146.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Johor. Menyelak lebih jauh, nahas bas ekspres paling buruk ialah pada 13 Ogos 2007 dengan jumlah kematian 20 orang dan lapan parah apabila bas ekspres terhumban ke parit sedalam lima meter di KM229, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang. Begitulah nahas yang melibatkan bas ekspres. Sudah banyak peraturan dan ketetapan dibuat oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk melarang perjalanan selepas 12 tengah malam. Ada yang meminta dikaji kesesuaian bas dua tingkat bergerak di lebuh raya. Entah apa pula yang akan dicadangkan selepas ini. Tetapi apakah kesudahannya? Adakah apa yang sudah diputuskan dikuatkuasakan? Atau sekadar ketetapan, peraturan dan undang-undang di atas kertas? Memang ajal maut bukan kita yang menentukannya tetapi manusia disuruh berusaha dan berikhtiar. Dan apa yang pasti, di lebuh raya, sudah menjadi satu pemandangan biasa bas ekspres dipandu laju malah berlumba sesama sendiri atau dengan kenderaan lain.

Teksi: LPKP perlu lebih aktif

LAIN pula kisah pemandu teksi. Mulai Jumaat ini, 31,000 pemandu perlu mengeluarkan resit tambang kepada penumpang. Jika tidak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan menarik balik permit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz menegaskan arahan itu kekal. Langkah itu memang dialu-alukan. Lebih-lebih lagi apabila Nazri mendakwa banyak aduan yang diterima mengenai pemandu tidak amanah, menipu dan tidak ikut meter. Bagaimanapun teguran Nazri disambut dengan desakan oleh Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) supaya menteri itu meletak jawatan portfolio LPKP. Puncanya apabila Nazri menyebut 'khidmat teksi lebih teruk daripada tandas'. Disebabkan ada pihak membuat aduan, maka teguran Nazri ada asasnya. Resit yang mempunyai pelbagai maklumat boleh membantu penumpang memastikan ketepatan tambang dan memudahkan aduan. Namun ramai yang tidak kisah dengan resit. Justeru di samping penguatkuasaan resit, perkara yang lebih penting adalah penguatkuasaan terhadap segelintir pemandu yang tidak menggunakan meter, memilih penumpang dan mengubah suai meter untuk mencari tambang lebih. Masih banyak yang berbuat demikian walaupun kerajaan telah menaikkan tambang teksi.

Ada pula yang berkata, pendapatan mereka terjejas kerana jumlah penumpang berkurangan berbanding jumlah teksi. Penumpang kurang kerana ramai yang 'takut' dengan kadar tambang yang dianggap tinggi. Paling merisaukan penumpang apabila terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Jumlah teksi pula bertambah ketika ini apabila ramai yang dulunya memandu teksi syarikat sudah memiliki permit sendiri. Macam-macam teksi ada di Kuala Lumpur termasuk Proton, Wira, Waja, Perdana dan Citra. Maka saingan dalam 'industri' teksi ini semakin meningkat. Pemandu teksi tidak boleh bertumpu di Kuala Lumpur sahaja sebaliknya mencari peluang di kawasan baru di pinggir ibu negara. Masih banyak kawasan perumahan baru yang tidak mempunyai perkhidmatan teksi atau pengangkutan awam.

Kita tidak mahu dalam mengejar saingan ini, ada pemandu tidak ikut undang-undang. Ada yang meminta tambang lebih dengan alasan kesesakan padahal kadar semasa kesesakan sudah 'dikira' melalui meter. LPKP perlu kerap 'turun padang' bukan sekadar di Kuala Lumpur tetapi di sekitar Lembah Klang bagi memastikan pemandu teksi benar-benar ikut peraturan. Jangan hanya menunggu aduan melalui telefon atau SMS kerana ramai pengguna yang sudah 'bosan' untuk membuat aduan.

Apabila polis buat aduan polis

TAHUN ini juga menyaksikan ada pihak tertentu yang 'menyerang' polis berhubung tindakan mereka menembak mati penjenayah. Ada yang mempertikaikan kenapa perlu tembak? Dalam erti kata lain, polis sepatutnya berbincang dengan penjenayah. Kalau dalam filem Melayu, Tamil, Hindi, Cina dan Inggeris, tidak ada penjenayah yang tiba-tiba tampil untuk menyerah diri melainkan akan menembak anggota polis. Penjenayah yang merompak orang juga tidak akan berbincang supaya mereka tidak dicederakan atau mengambil barang-barang tertentu sahaja. Perompak atau penjenayah yang terdesak akan kebas apa sahaja dan lebih kejam merogol, mencedera dan membunuh mangsa. Maka wajarkah polis membiarkan diri mereka diserang? Namun yang menarik mengenai polis dua tiga hari lalu apabila polis membuat aduan polis berhubung kenyataan pemimpin pembangkang. Kenyataan mereka dianggap berbau hasutan dan menakut-nakutkan polis. Jangan ingat polis akan berdiam diri dan takut bertindak.

Memang ada yang cepat membuat andaian apabila orang tertentu menulis dan bercakap mengenai sesuatu isu. Cepatnya mereka mengandaikan tulisan dan percakapan itu sensitif, menghasut dan bersifat perkauman. Tetapi apabila mereka berbuat demikian, itu namanya demokrasi, suara rakyat dan kebebasan bersuara.

Kadang-kadang atas nama demokrasi, ada yang mengeluarkan kenyataan provokasi sehingga mencetuskan kemarahan. Ada juga yang menggunakan 'kekebalan' untuk bercakap apa sahaja. Mereka kemudiannya memang boleh meminta maaf tetapi bak kata orang terlajak perahu boleh berpatah balik tetapi terlajak kata buruk padahnya. Ketika ini, orang membaca apa yang tersurat dan tersirat. Jadi jagalah mulut. Kerana mulut badan binasa!


EDISI METRO HARIAN......

‘Mayat di bawah kaki saya’




Bainun." title="CEDERA ...Md Razip menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri
Bainun." width="300" border="0" height="301">
CEDERA ...Md Razip menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri
Bainun.

IPOH: “Sebaik tersedar, saya nampak mayat seorang penumpang berada di bawah kaki dan satu lagi mayat di hadapan tempat duduk.

“Ketika itu, suasana sunyi sepi dan saya cuba bangun dari tempat duduk, namun gagal kerana sakit di bahagian dada sebelum diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” kata Mejar Md Razip Fadzir, 38, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan bas dua tingkat yang mengorbankan 10 penumpang di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) awal pagi kelmarin.

Md Razip antara dua penumpang tingkat bawah bas berkenaan yang terselamat dalam kemalangan itu manakala 10 yang lain maut.

Dalam kemalangan itu, Md Razip dan seorang penumpang lain yang cedera, Siti Nur Munirah Hashim, 30, manakala 36 penumpang lain yang duduk di bahagian atas bas berkenaan terselamat tanpa sebarang kecederaan.


Bagaimanapun, pemandu bas dan pembantunya terselamat dalam kemalangan itu.


“Saya bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan itu dan pada masa sama sedih dengan kematian yang meragut nyawa 10 penumpang bas lain.

“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kangar, Perlis selepas menyelesaikan urusan peribadi di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Md Razip yang juga Komandan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Timah Tasoh, Beseri, Perlis berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa sejurus kemalangan itu berlaku sebaliknya menunggu untuk diselamatkan.

LAGI..........

Terkedu lihat mangsa tiada kepala, badan terbujur

IPOH: “Saya terkedu apabila melihat mangsa yang maut kehilangan kepala sedangkan badannya masih lagi terbujur di tempat duduk bas dan darah mengalir serta memenuhi ruang dalam bas berkenaan.


“Saya tidak sanggup melihat mayat mangsa yang kebanyakannya dalam keadaan ngeri namun demi tugas, saya gagahkan diri untuk berdepan dengan situasi menyelamat itu,” kata anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ipoh yang tiba awal di lokasi kemalangan bas ekspres dua tingkat di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) awal pagi kelmarin.

Dia yang enggan dikenali berkata, pasukannya adalah antara agensi keselamatan terawal yang tiba di tempat kejadian dan membantu mengeluarkan mayat yang tersepit dalam kemalangan itu.

“Kami menerima panggilan kira-kira 15 minit selepas kemalangan itu berlaku dan sebaik tiba, semua mayat mangsa masih lagi di tempat duduk bas selain dua tercampak di atas jalan raya manakala mangsa yang terselamat ada di luar bas.



“Awalnya, saya mengesan enam mayat saja manakala dua yang lain tercampak di luar bas dengan kepala hancur berkecai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.


DAN LAGI............

Pemandu didakwa lepas tangan


IPOH: Pemandu utama bas ekspres dua tingkat yang terbabit dalam kemalangan ngeri awal pagi kelmarin bersama pembantunya didakwa lepas tangan dengan membiarkan penumpang yang cedera dan tersepit dalam kenderaan itu tanpa membantu mengeluarkan mereka.


Seorang penumpang yang cedera, Siti Nur Munirah Hashim, 30, berkata kedua-dua mereka bertindak menyelamatkan diri masing-masing tanpa menghiraukan jeritan mangsa meminta tolong.

“Sejurus kejadian, pemandu bas hanya bertanya sama ada penumpang cedera atau tidak sedangkan mereka sendiri sudah melihat ada penumpang sudah tidak bernyawa.

“Mungkin panik selepas melihat ramai mangsa yang maut menyebabkan mereka terus keluar dari bas berkenaan,” katanya.



Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) itu, bas dua tingkat yang membawa 50 penumpang termasuk pemandu dan pembantunya dalam perjalanan dari Klang ke Kangar dikatakan tidak dapat dikawal dan terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.


KOMEN : aku pun ada citer gak pasal xcdent ni.. yang hampir2 mengheret aku dalam situasi sebagai mangsa....

Font size



1 comment:

D.K. said...

menarik artikel ni.... salam ziarah dan ukhwah...