Sunday, February 28, 2010

Azab Syafia

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


JENAZAH Syafia Humairah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Pendarahan otak; Cedera parah di perut, ginjal; Luka, lebam seluruh badan

KUALA LUMPUR: Bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mati dipercayai didera teman lelaki ibunya kelmarin, mendapati berlaku pendarahan otak, kecederaan parah di perut dan sekeliling buah pinggang akibat hentakan kuat di kepala dan abdomen mangsa.

Selain itu, bedah siasat terhadap Syafia Humairah Sahari di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), Hulu Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam mulai 10.30 pagi, juga menemui kesan luka dan lebam seluruh badan, selain kesan penderaan lampau.


Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Rashid, berkata polis akan memanggil beberapa individu yang rapat dengan suspek, termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan.

"Polis percaya mereka mempunyai hubung kait atau tahu mengenai penderaan berulang yang dipercayai dilakukan suspek, seorang pemandu teksi berusia 28 tahun itu.

"Kita juga akan memanggil beberapa saksi yang mendakwa melihat suspek menendang kanak-kanak itu di padang berdekatan rumahnya pada hari berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bakhtiar berkata, bedah siasat yang mendapati kesan kecederaan lama akibat penderaan lampau, termasuk yang dikesan beberapa hari sebelum kematiannya menunjukkan mangsa didera secara berterusan.

"Kecederaan luaran yang baru dan lama itu dipercayai disebabkan pukulan dengan benda keras dan kesan hentakan kuat. Bahagian belakang tubuh mangsa juga ada kesan lebam selain leher, pipi dan bahunya," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan, Syafia Humairah mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera teman lelaki ibunya di kediaman suspek di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam Khamis lalu.

Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka di muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.

Syafia Humairah dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke HKKB ketika dibawa suspek dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, pihak hospital mengesyaki berlaku penderaan terhadap mangsa selepas menemui banyak kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak itu dan polis menahan lelaki terbabit kira-kira jam 3 pagi kelmarin yang mengaku mencederakan Syafia Humairah.

Bakhtiar berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.

"Suspek kini ditahan reman tujuh hari mulai semalam (kelmarin) dan kita akan memohon untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga 14 hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Jenazah kanak-kanak malang itu dituntut oleh keluarga ibunya di HKKB sebaik selesai bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, kira-kira jam 4 petang.

Terdahulu, suasana di pekarangan bilik mayat HKKB kecoh seketika apabila keluarga teman lelaki ibu mangsa turut datang menziarah jenazah kanak-kanak itu dan dikatakan mahu menuntut jenazah mangsa sebelum keadaan kembali reda beberapa minit selepas itu.


Kesal bertemankan lelaki kejam

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
bminggu@bharian.com.my

SUNGAI BULOH: Ibu kanak-kanak yang menjadi mangsa dera teman lelakinya, Nurhanim Aziz, 25, menyuarakan rasa amat kesalnya berkawan dengan lelaki yang disifatkannya kejam dan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan kematian anaknya, Syafia Humairah Sahari, 3, kelmarin.

Malah dalam pertemuan dengan Berita Minggu semalam, ibu muda ini beberapa kali mengalirkan air mata sehingga sukar berkata-kata kerana terlalu sedih dengan kematian anak kesayangannya itu di tangan lelaki yang dipercayainya.

Namun pada masa sama, dia juga menyesali berkawan dengan lelaki yang disifatkannya panas baran, kurang sopan dan didakwanya turut minum arak.


Nurhanim yang bekerja ketika kejadian berkata, sukar baginya untuk menerima kenyataan yang penghibur hatinya itu sudah tiada lagi di dunia ini.

Lebih sedih lagi, memikirkan detik-detik bagaimana anaknya itu trauma dibelasah dan terpaksa bertarung nyawa sebelum menemui ajalnya.

“Saya kesal dan marah tindakan teman lelaki berhati binatang itu. Dia menjadi pembunuh. Apalah

dosa anak saya yang masih mentah itu? Peristiwa ini cukup memeritkan untuk ditelan.

“Pengajaran besar ini mengajar saya lebih berhati-hati memilih teman lelaki kerana ia boleh mengundang padah cukup mendalam,” katanya kepada Berita Minggu di rumahnya di sini, semalam.

Nurhanim berkata, selama enam tahun berkawan dengan lelaki 28 tahun berasal dari Batu 30 di Ulu Yam Lama itu, dia turut berasakan kesan akibat sikap panas baran teman lelakinya itu.

“Saya amat marah. Saya sudah ditipunya. Dia berbohong kononnya anak saya mati akibat kemalangan iaitu terjatuh daripada motosikalnya.

“Selepas mendapat tahu anak jirannya menyaksikan kejadian sebenar anak disepak dan dipukul, saya berasa menyesal memberikan peluang kepadanya menjaga anak bongsu ini.

“Ketika kejadian, saya bekerja di Sungai Buloh.

Saya diberitahu olehnya (suspek) bahawa anak sudah mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya.

Mangsa, Syafia adalah anak kedua hasil perkahwinan Nurhanim dengan suaminya, Sahari Usol, 33, yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana terbabit dengan kesalahan jenayah beberapa tahun lalu.

"Saya lemah dan tidak bermaya untuk menyambung hidup ini kerana jiwa begitu sepi tanpa arwah yang cukup manja dan menjadi penghibur hati ini.

“Semoga beliau (suspek) mendapat hukuman setimpal yang bertindak kejam meragut nyawa anak saya tanpa belas kasihan di rumahnya itu," katanya.



Syafiah alami kecederaan parah

HULU SELANGOR 27 Feb. - Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sebelum dia menemui ajal, kelmarin.

Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut.

Hari ini, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.

"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.

"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu di sini hari ini.

Kelmarin, Syafiah Humairah mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh teman lelaki ibunya, mendakwa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, kematian Syafiah Humairah yang begitu kejam turut membongkar rahsia perhubungan haram antara ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejak enam tahun lalu.

Ibu kanak-kanak itu yang masih bersuami, disangkakan telah berkahwin dengan suspek kerana mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, malah, wanita itu kini sedang hamil empat bulan.

Namun, rahsia perhubungan mereka yang hanya menyamar sebagai suami isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati pasangan itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.

Difahamkan, bapa kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak tahun 2006.

Selain berhadapan tuduhan bunuh, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang syariah kerana bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah.


Saksi lihat Syafiah dicampak, dipijak

HULU SELANGOR 27 Feb. - Seorang saksi mendakwa, dia ternampak Syafiah Humairah Sahari disepak seperti bola selain dicampak dan dipijak oleh teman lelaki ibu kanak-kanak itu.

Kejadian itu, menurut Ahmad Fikri Khalis Zakaria, 19, berlaku di sebuah padang bola di Kampung Batu 30, Batang Kali di sini kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu.

Ahmad Fikri Khalis berkata, pada masa itu dia ternampak kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut sedang bermain bola di tepi padang berkenaan.

Katanya, suspek yang dipanggil Abang Mat tiba-tiba datang dengan memakai kasut but bola dan memarahi mangsa.

"Abang Mat kemudian menyepak mangsa seperti bola, selepas itu dia mengangkat Syafiah Humairah menggunakan sebelah tangan sebelum mencampakkan kanak-kanak itu ke atas padang.

"Tidak cukup dengan itu, suspek memijak perut mangsa dengan kasut bola dan menyepak beberapa kali bahagian belakang budak tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Kematian Allahyarham Syafiah Humairah mengundang rasa marah semua pihak kerana dia dibunuh teman lelaki ibunya secara kejam, kelmarin.

Akibat rasa marah dengan kejadian itu, penduduk setempat turut menconteng dinding hadapan rumah suspek dengan perkataan 'pembunuh' menggunakan cat merah.

Tambah Ahmad Fikri, mangsa yang tidak menangis ketika itu cuba berdiri tetapi jatuh semula kerana kecederaan yang dialaminya.

Seorang lagi saksi, Faleeq Hakim Zazali, 16, berkata, dia dan Ahmad Fikri cuba membantu mangsa namun dihalang suspek.

"Untuk memastikan Abang Mat tidak terus memukul mangsa, kami hanya mampu mengangkat kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam teksi suspek.

"Namun, pada sebelah malam, kami dengar berita kanak-kanak itu telah meninggal dunia di hospital," ujarnya.


Takut setiap kali lihat suspek - Datuk

HULU SELANGOR 27 Feb. - Kanak-kanak mangsa penderaan teman lelaki ibunya yang meninggal dunia dalam keadaan sadis kelmarin, Syafiah Humairah Sahari sering ketakutan setiap kali melihat atau bertembung dengan suspek.

Kanak-kanak tiga tahun itu sanggup bersembunyi di kawasan semak di sekitar rumahnya bagi mengelak daripada ditemui oleh lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Perkara itu didedahkan oleh datuk mangsa, Aziz Shahar, 50, yang memberitahu, sejak menyedari tingkah laku aneh cucunya itu, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Dalam nada sebak, Aziz yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini berkata, dia begitu sedih dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.

"Saya pernah melihat kesan parut dan luka seperti dicucuh dengan puntung rokok di kaki dan bawah dagu cucu saya.

"Namun, setiap kali saya bertanya, Syafiah Humairah hanya mendiamkan diri," katanya.

Menurut Aziz, dia tidak dapat memaafkan sesiapa juga suspek yang terlibat dalam pembunuhan cucunya itu, termasuklah jika anak perempuannya sendiri terbabit.

"Saya tidak akan maafkan mereka, walaupun jika dia itu anak saya sendiri," katanya sambil menangis teresak-esak.

Aziz memberitahu, Syafiah Humairah dan abangnya, Mohd. Syafiq Sahari, 7, tinggal secara bergilir-gilir di rumahnya dan kekasih ibunya sejak tahun lalu.

Sementara itu, ibu Allahyarham Syafiah Humairah, Siti Norhanim, 25, ketika ditemui mendakwa, dia tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku.

"Saya keluar bekerja sejak Rabu lalu dan tidur di rumah rakan di Cheras. Dia (teman lelakinya) menghubungi saya malam Khamis lalu memberitahu Syafiah mati akibat terjatuh motosikal," katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di ibu negara.


Jenazah Syafiah selamat dikebumi


SITI Norhanim Aziz menyiram air mawar ke atas pusara anaknya, Syafiah Humaira di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, Selangor, semalam. Turut kelihatan datuk dan nenek mangsa, Aziz Shahar (dua dari kanan) dan Nor Azizah Boden (kiri) serta abang mangsa, Mohd. Syafiq Sahari (menabur bunga).


HULU SELANGOR 27 Feb. - Jenazah kanak-kanak malang, Syafiah Humairah Sahari yang mati didera oleh teman lelaki ibunya kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, hari ini.

Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, sebaik sahaja jenazah kanak-kanak berusia tiga tahun itu dituntut oleh datuknya, Aziz Shahar, 50, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Jenazah Allahyarham Syafiah Humairah kemudian dibawa pulang ke rumah Aziz di Kampung Batu 16, Sungai Plong.

Suasana pilu semakin terasa sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikafankan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang pukul 4 petang.

Kelmarin, Syafiah Humairah mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh lelaki berkenaan yang mendakwa Syafiah Humairah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Sementara itu, ketika proses bedah siasat sedang dijalankan, berlaku kekecohan di luar bilik mayat apabila keluarga suspek datang untuk menziarahi mangsa.

Saudara dan kenalan keluarga ibu mangsa yang tidak dapat menahan kemarahan cuba menyerang keluarga suspek.

Keadaan itu bagaimanapun kembali terkawal apabila keluarga suspek mendengar arahan supaya mereka meninggalkan hospital tersebut secepat mungkin.

nota kaki: semoga hak allahyarham dapat ditegakkan walau terpaksa menghukum ibunya. wahai seluruh hamba Allah dan umat Muhammad... insaf la..apa la dosa kanak2 sebesar tu hinggakan dia di bunuh dengan kejam... astagfirullah al azim..

No comments: