Monday, November 24, 2008

Drama wanita ancam terjun bangunan

SELAMAT... Akhirnya wanita ini berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.- Gambar AZLAN BAHRUM


HULU TERENGGANU 23 Nov. - Baru dua hari seorang gadis mengancam untuk terjun bangunan kerana ditinggalkan kekasih, seorang suri rumah berusia 38 tahun pula cuba mengambil tindakan yang sama kerana menyangka suaminya berkahwin lain.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, wanita itu yang dikatakan bekas pesakit mental didakwa bertengkar dengan suaminya, di Ajil dekat sini, sebelum menunggang motosikal ke Bandar Kuala Berang.
Dia yang merupakan isteri kedua itu kemudiannya naik ke bumbung sebuah bangunan yang dalam pembinaan dan mengugut menikam empat pekerja Bangladesh dengan pisau ketika mereka cuba menahannya.
Pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian cuba memujuk wanita tersebut yang ketika itu kelihatan sudah hilang pertimbangan apabila membuka baju kurungnya sambil mengacu-acu pisau.
Sepanjang usaha memujuk, ibu kepada seorang anak lelaki itu menghabiskan tiga batang rokok, dua air kotak dan dua air mineral yang diberikan anggota bomba.
Keadaan bertambah cemas kira-kira pukul 3.15 petang, apabila wanita itu yang berundur sedikit demi sedikit tergelincir di tebing bangunan tersebut.
Mujur tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelakkannya daripada terjatuh.
Kejadian tersebut disaksikan ribuan orang ramai termasuk suami dan ahli keluarganya.
Menyambar
Anggota bomba yang hanya ingin dikenali sebagai Zahari berkata, dia sempat menyambar tangan wanita tersebut yang ketika itu hanya berpaut pada tebing bangunan tersebut.
"Sebaik sahaja saya mencapai tangannya, anggota bomba lain memegang rambut dan bahagian badan lain. Kalau lambat sesaat tentu dia sudah jatuh," katanya yang memberitahu seorang rakan setugasnya cedera akibat terjerut tali di leher.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Deputi Supritendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah mengakui wanita itu mungkin meniru aksi remaja perempuan di Kuala Terengganu tiga hari lalu.
Katanya, wanita berasal dari Bukit Sawa, Marang itu berbuat demikian kerana masalah rumah tangga ekoran suaminya sudah lama tidak pulang ke rumah.
"Pihak polis akan membuat siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan termasuk mendakwa wanita berkenaan," ujarnya.
***Betul2 Menyusahkan Orang....

No comments: