Thursday, November 27, 2008

Sebahagian Semenanjung mungkin 'bergelap'

Oleh SUWARNI MOKHTAR dan SARAH NADLIN

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian besar kawasan selatan pantai barat Semenanjung berdepan dengan risiko terputus bekalan elektrik dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang jika projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Rawang, Selangor gagal disiapkan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pihaknya bagaimanapun benar-benar berharap perkara itu tidak akan berlaku dan sedang berusaha untuk mengelakkannya.

''Sebenarnya TNB tidak dapat berbuat apa-apa lagi kecuali bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku gangguan kerana segala urusan pengambilan tanah di Kampung Sungai Terentang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau menambah, projek CAR yang bernilai RM400 juta dan sebahagian besar daripadanya telah pun dibelanjakan, tidak dapat diteruskan ekoran terdapat bantahan segelintir penduduk di kawasan berkenaan.

Projek CAR adalah usaha TNB untuk meningkatkan bekalan elektrik ke Lembah Klang daripada 33 kiloVolt (kV) dan 125kV kepada 275kV membabitkan laluan Bukit Tarek dan Chubadak sejauh 60 kilometer.

Che Khalib menjelaskan, sebanyak 98 peratus daripada projek itu berjaya disiapkan dan hanya tinggal dua peratus atau satu kilometer sahaja lagi yang masih tergendala.
Katanya, projek tersebut hanya memerlukan penanaman empat menara jenis monopole (bertiang satu) sebelum tenaga elektrik dapat disalurkan kepada hampir 6.5 juta isi rumah yang sudah tertangguh sejak setahun lalu.

Che Khalib berkata: ''Keadaan (masalah bekalan elektrik) semakin kritikal seperti seurat getah yang sudah terlalu lama ditarik, sudah genting. Kalau getah ini terputus, seluruh Selangor, Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan. Bukan itu sahaja, gangguan ini boleh berjangkit sehingga ke Johor."

Seperti yang sedia dimaklumi, menurut beliau, Selangor dan Kuala Lumpur merupakan kawasan perindustrian utama.

"Kalau terputus bekalan, ramai terpaksa menanggung kerugian berpuluh-puluh juta ringgit atau lebih. Mengikut penilaian teknikal kami, bekalan elektrik boleh terputus dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

''Saya tidak tahu apa isu yang sebenarnya dan saya hanya memberikan kenyataan sebagai seorang profesional. Apa yang saya minta ialah tolong berfikir secara rasional. Jika tidak, saya cuma boleh berharap agar getah tersebut tidak putus,'' ujarnya.

Ditanya adakah negara akan mengalami gangguan bekalan elektrik sebagaimana yang pernah berlaku pada tahun 1992, beliau enggan meramalkan sebaliknya sekadar mengulangi harapan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Che Khalib menjelaskan, tanah kampung tersebut merupakan tanah milik TNB tetapi telah bertukar milik selepas berlakunya kejadian yang tidak dapat didedahkan kepada media.
Sebelum ini, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu, projek itu tergendala dipercayai berpunca daripada hasutan pihak-pihak tertentu.
Menurutnya, kementerian bersedia untuk membayar ganti rugi sehingga berjumlah RM10.4 juta kepada pihak yang terbabit, selain mengambil Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina San Yuk sebagai sekolah angkat demi memastikan projek CAR dipersetujui penduduk di kawasan berkenaan.

No comments: